Jom Menjadi Rakan Blog Shakhanf... Daftar DI SINI.

Name:
Email Address:

form mail

Thursday, June 25, 2009

Peribadi Pelajar yang Cemerlang



Optimistik.
Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'

Jangan bersikap pesimistik.
Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.

Kesedaran memikul tanggungjawab.
Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.

Tumpuan sepenuh hati.
Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.

Mulakan dari awal.
Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.

Sentiasa bersedia.
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'

Baca akhbar.
Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.

Sanggup manghadapi cabaran.
Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.

Doa.
Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.

Tawakkal.
Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

No comments:

Post a Comment